background img

The New Stuff

DEPOSIT TABUNG HAJI SELAMAT.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi jaminan wang pendeposit yang disimpan di dalam entiti tersebut dijamin sepenuhnya oleh kerajaan, walau apa jua kemungkinan terburuk berlaku ke atas dana haji tersebut.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail yang sedikit kurang senang dengan tuduhan wang pendeposit telah diambil untuk melabur berkata, jaminan itu termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995.

Beliau berkata, pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Tabung Haji memberi kesan kepada kakitangan yang selama ini bertungkus-lumus untuk menghasilkan bonus kepada pendeposit dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji.
 
Tidak perlu timbul isu bahawa wang pendeposit akan hilang, jaminan kerajaan itu akan melindungi berapa sahaja jumlah wang semasa yang dimiliki setiap pendeposit. Untuk lebih kepastian, pendeposit sendiri boleh pergi ke mana-mana cawangan Tabung Haji untuk menyemak baki simpanan mereka.

“Malah, mereka boleh menye­mak baki simpanan mereka melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bank Islam, Bank Rakyat atau Maybank,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas kerisauan yang timbul dalam kalangan pendeposit Tabung Haji ekoran sentimen yang dimainkan oleh beberapa pihak bahawa wang simpanan mereka telah hilang untuk membiayai transaksi pembelian hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) di Jalan Tun Razak di sini.
 
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail
 
Ismee berkata, Tabung Haji sendiri akan melaksanakan pelbagai program untuk mendekati orang ramai bagi memberi penjelasan lanjut dan memperbetulkan isu-isu berbangkit berkaitan dana haji itu.
 
Sejak 1 Januari 2006, simpanan pendeposit di Tabung Haji telah me­ningkat daripada RM13.3 bilion kepada RM57 bilion sehingga kini. Peningkatan sebanyak RM43 bi­lion dengan RM15 bilion daripada­nya disumbang oleh keuntungan pelaburan dan perniagaan yang disertai oleh Tabung Haji.

Ismee dalam hal ini berkata, keuntungan daripada pelaburan itulah yang membantu Tabung Haji memberi subsidi kepada jemaah Haji dalam jumlah yang besar setiap tahun sedangkan kadar bayaran mengerjakan ibadah itu tidak dinaikkan sejak 2009.
 
Secara purata, Tabung Haji menanggung subsidi sebanyak RM7,290 untuk setiap seorang jemaah haji bagi membiayai pelbagai keperluan, sedangkan jemaah hanya perlu membayar RM9,980 seorang untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, jelas beliau.
 
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa dalam meringankan kos bakal jemaah haji, Tabung Haji perlu terlibat di dalam aktiviti-aktiviti perniagaan yang berlandaskan syariah dalam meneruskan pemberian bonus serta terus menanggung subsidi kepada jemaah haji.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts